Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien
Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam II merupakan Sultan Brunei ke-27 yang memerintah dari tahun 1924 hingga 1950.

Baginda dilahirkan pada 22 Ogos 1913 di Istana Pekan, Bandar Brunei. Baginda merupakan putera kedua kepada Sultan Muhammad Jamalul Alam II dan Raja Isteri Pengiran Anak Fatimah. Sebelum menjadi sultan, baginda dikenali sebagai Pengiran Muda Besar Ahmad Tajuddin.
Pendidikan awal baginda diterima di istana dan baginda mempelajari bahasa Inggeris daripada seorang pegawai British. Baginda merupakan raja pertama Brunei yang membuat pelayaran jauh dari pesisir Borneo melalui lawatan ke negara-negara Eropah.
Sultan Muhammad Jamalul Alam II mangkat pada 11 September 1924 akibat penyakit malaria. Baginda menaiki takhta pada usia 11 tahun namun kuasa pemerintahan terletak pada Majlis Pemangku Raja yang terdiri daripada Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman dan Pengiran Bendahara Pengiran Anak Haji Mohammad Yassin sehingga 19 September 1931. Baginda dilantik sebagai sultan pada 19 September 1931 dan dipupsa sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara pada 17 Mac 1940.
Pada tahun 1927, baginda merasmikan pembukaan jalan Brunei - Tutong dan merasmikan pembukaan Hospital Besar Brunei pada tahun 1929. Minyak mula ditemui di Seria pada tahun 1929. Pada tahun 1932, baginda berangkat melawat England dan Eropah.
Jepun menduduki Brunei pada 16 Disember 1941 dan kuasa pentadbiran diserahkan kepada Gabenor Jepun bagi wilayah Miri-shu. Kuasa baginda terhad kepada hal ehwal Adat Istiadat Brunei dan Agama Islam. Selepas Tentera Bersekutu mendarat pada tahun 1945, Brunei ditadbir sementara oleh British Military Administration sebelum kuasa diserahkan kembali kepada baginda pada 6 Julai 1946.
Lagu Kebangsaan Brunei 'Allah Peliharakan Sultan' digubah oleh Awang Besar Sagap dengan senikata oleh Yura Halim pada tahun 1946. Barisan Pemuda (BARIP) pula ditubuhkan pada 12 April 1946. Baginda menyambut Jubli Perak pada tahun 1949 dan dikurniakan pingat Knight Commander of the Most Excellent Order of the British Empire (KBE) oleh Kerajaan British.
Baginda mangkat pada 4 Jun 1950 di Hospital Besar Singapura ketika berusia 37 tahun. Jenazah baginda dibawa ke Johor untuk penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke Brunei melalui Labuan. Baginda disemadikan di Kubah Makam Diraja, Bandar Brunei. Takhta kemudiannya diserahkan kepada adinda baginda, Pengiran Bendahara Pengiran Muda Omar Ali Saifuddien.
Key facts
- Sultan Brunei ke-27 yang memerintah dari 1924 hingga 1950.
- Menaiki takhta pada usia 11 tahun selepas kemangkatan Sultan Muhammad Jamalul Alam II.
- Merasmikan pembukaan jalan Brunei - Tutong dan Hospital Besar Brunei.
- Mangkat pada 4 Jun 1950 di Singapura pada usia 37 tahun.